26.3.11

MENGAMALKAN VEGETARIAN

Baru-baru ini telah tersebar risalah yang merupakan salinan terjemahan berkaitan Seruan Mengamalkan Vegetarian Oleh The Supreme Ching Hai International Association.

Risalah ini memuatkan beberapa saranan dan seruan Master Ching Hai yang merupakan Mahaguru pertubuhan ini ke arah gaya hidup yang lebih sempurna dalam usaha menyelamatkan dunia melalui pengamalan Vegetarian yang diamalkan oleh sesetengah agama. Seruan ke arah Vegetarian ini merupakan satu seruan yang telah dihantar ke seluruh dunia oleh The Supreme Master Ching Hai International Association di samping menyeru seluruh agama bersatu membasmi isu alkohol dan penyalahgunaan dadah.

Master Ching Hai berpandangan bahawa amalan Vegetarian dapat mengatasi dan membasmi masalah-masalah yang melanda dunia pada hari ini. Beliau telah memetik hujah-hujah berpandukan kitab suci agama-agama di dunia ini seperti hadith, petikan ajaran Buddha Tibet, falsafah Taoisme, ajaran Bahai, falsafah Cao Dai, Essene, Jainisme, Sikh, Zoroaster, Old Testament Yahudi dan lain-lainnya.
Pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh beliau dengan berasaskan dalil dan hujah berasaskan petikan hadith adalah menyimpang dari kebenaran kerana hadith yang dinyatakan tersebut mengandungi keraguan dari segi matan, maksud serta huraiannya yang tiada kena mengena dengan seruan Vegetarian sama sekali.

Bagi menjawab isu seruan Vegetarian ini, Presiden Islamic Relief Foundation (IRF) yang berpusat di Mumbai, India menyatakan di dalam bukunya 20 Most Common Questions About Islam berkata :
If every human being was a vegetarian, it would lead to overpopulation of cattle in the world, since their reproduction and multiplication is very swift. Allah swt in His Divine Wisdom knows how to maintain the balance of His creation appropriately. No wonder He has permitted us to have the meat of the cattle.

Pemerhatian awal terhadap isu ini, dapat disimpulkan bahawa hujah-hujah yang digunakan oleh Master Ching Hai dalam menyeru kepada amalan Vegetarian adalah tidak berasas apatah lagi huraian kefahamannya adalah jauh tersasar dari disiplin syarahan nas-nas agama.
Sebaliknya Al-Quran telah menghalalkan daging haiwan tertentu sebagai rezeki yang dikurniakanNya kepada manusia sebagaimana firman Allah menerusi surah Al-Maidah ayat 1 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang beriman. Tunaikanlah janji. Dihalalkan kepadamu (memakan) binatang-binatang ternakan kecuali yang akan disebutkan (pengharamannya) kepadamu. (Halalnya binatang ternakan tersebut bukanlah bermaksud) dibolehkan kamu berburu ketika kamu di dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendakki.”

Firman Allah di dalam Surah An-Nahl ayat 5 :
“Dan binatang ternakan itu diciptakan olehNya untuk (diambil manfaat) sebagai pemanas tubuh (sebagai pakaian) dan untuk kamu makan.”

SUMBER: JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA(JAKIM)

No comments:

Post a Comment