30.8.11

CARA MENYAMBUT HARI RAYA




1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik rh meriwayatkan sebuah hadis di dalam al-Muwatto’ (الموطأ)
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Eid al-Fitri dan untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat.
Termasuk di dalam adab berhari raya al-Fitri ialah makan dahulu sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].
Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ianya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].

3. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah swt:
{وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن}
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].

4. Lafaz Takbir Hari Raya

5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan:
1. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ – Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua).
2. عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) hari raya yang diberkati.

6. Berpakaian baru/cantik di Hari raya
Daripada Jabir ra. katanya: “Nabi saw mempunyai satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].

7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah r.anhuma katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: “Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986]

8. Solat Hari Raya
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnyasunat muakkad, sebahagian yang lain mengatakannya fardhu kifayah dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya adalah fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama’semasa.

9. Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya
Daripada Ali bin Abi Tolib r.a. katanya: “Termasuk di dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.” [Riwayat al-Tirmizi dan beliau menghasakannya].

10. Zakat al-Fitr
Nabi saw menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal berdasarkan hadis Ibnu Umar r.’anhuma yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:وكانوا يعطون قبل الفطر بيوم أو يومين
Maksudnya: “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

No comments:

Post a Comment