5) WALI ENGGAN
Para Fiqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannnya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.
Diriwayatkan dari Ma'qil bin Yaser, ia berkata:
"Saya mempunyai saudara perempuan, Ia dipinang oleh seorang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Saya kahwinkan perempuan itu dengan pemuda tersebut, kemudian diceraikan dengan talak yang boleh dirujuk.
Perempuan itu ditinggalkan sampai habis idahnya. Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, maka saya jawab, :` Demi Allah, saya tidak akan mengahwinkan engkau, dengan dia selama-lamanya.''
Peristiwa ini disampaikan kepada Nabi s.a.w. Berhubung dengan peristiwa ini, Allah s.w.t. menurunkan ayat Al-Quran:
Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis masa idahnya, maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya. (Al-Baqarah: 232).
Dalam sebuah hadis yang lain dinyatakan:
Ada tiga perkara yang tidak boleh ditangggungkan iaitu: Solat, bila telah datang waktunya, janazah bila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya.
(Riwayat At-Timizi dan Hakim).
Oleh yang demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.
Menurut Jumhur Fuqaha (Shafi'e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali. " (Riwayat Abu Daud dan At-Tamizi).
Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat bin salleh (1976, Jld.11.1JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadi Perlis, Yang Ariff telah memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja atau hakim untuk berkahwin.
Kadi ketika memutuskan kes itu menyatakan:"Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak mahu mewakilkan nikah anaknya kerana enggan atau berselisih faham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu dengan wali hakim atau wali Raja dengan alasan:
Pertama : Daripada Aishah r.a. Nabi s.a.w tc bersabda:
"Jika mereka berselisih, maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali.''
(Riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-Tamizi).
Kedua: Rasulullah s.a.w. bersabda:
Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar.(Riwayat At-Tamizi).
Ini bermakna wali yang enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
No comments:
Post a Comment